SHAMSUL Izrin (kiri) melawat Muhammad Amsyal yang dijangkiti kuman pada paru-paru di Kampung Seri Ketengga Siong, Baling, hari in. FOTO Safuri Kamarudin
SHAMSUL Izrin (kiri) melawat Muhammad Amsyal yang dijangkiti kuman pada paru-paru di Kampung Seri Ketengga Siong, Baling, hari in. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


SUAMI isteri tabah menjaga anak bongsu mereka berusia lapan bulan yang menderita akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas dua bulan dilahirkan.

Mohd Rosdi Does, 37, berkata anaknya Muhammad Amsyal perlu dijaga rapi sepanjang masa supaya tidak terdedah dengan udara luar kerana mudah sesak nafas.

Menurutnya, doktor mengesahkan anaknya menghadapi masalah itu selepas ditahan lebih enam bulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

"Anak saya pada mulanya dilahirkan normal, tetapi selepas dua bulan keadaannya berubah sebelum doktor mengesahkan dijangkiti kuman pada paru-paru menyebabkannya ditahan di wad HSB selama enam bulan sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Saya dan isteri terpaksa bergilir-gilir menjaga anak kerana dia perlu diberi perhatian, malah perlu memakai peralatan yang diberikan oleh hospital untuk membantu pernafasan dan tidak boleh terdedah dengan udara luar," katanya.

Mohd Rosdi berkata demikian ketika menerima lawatan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling Shamsul Izrin Isahak di rumah di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong, Baling, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling Noor Azman Ramli.

Menurutnya, dia memperoleh pendapatan hasil menoreh getah untuk menyara keluarga dan empat anak berusia lapan bulan hingga 10 tahun termasuk tiga sedang bersekolah berikutan isteri Norhafizah Abd Rahman, 33, hanya suri rumah.

Katanya, kehidupan mereka tersepit kerana sering terputus perbelanjaan sehingga tidak mampu membayar bil utiliti hospital.

"Setiap dua minggu sekali Muhammad Amsyal terpaksa ke HSB Alor Setar untuk rawatan susulan dan sebulan sekali dirujuk ke HPP sekali gus memerlukan kos berulang-alik, namun demi anak saya tetap tidak berputus asa," katanya.

Sementara itu, Shamsul Izrin berkata, JKM meluluskan bantuan RM350 sebulan kepada keluarga itu selepas mematuhi prosedur ditetapkan, sekali gus mampu meringankan beban mereka.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalur sumbangan melalui akaun BSN 0200541000127961 atas nama Mohd Rosdi Does.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:12 PM