YUSMAL menemubual seorang tetamu dalam program berkenaan.
YUSMAL menemubual seorang tetamu dalam program berkenaan.
Ridzuan Abdul Rahman


HARI Sarawak yang diraikan hari ini disambut istimewa dan penuh makna oleh Tv Sarawak (TVS) dengan menyiarkan dokumentari bersiri berjudul Bujang Berani.

Dokumentari enam episod arahan Yusmal Ghazali ini membawa rakyat Malaysia memperingati pengorbanan pasukan keselamatan semasa berkhidmat untuk negara dalam mencapai keamanan dan kemerdekaan.

Yusmal yang sebelum ini aktif mengarah drama berkata, objektif utama Bujang Berani ialah mempamerkan kisah-kisah patriot di Sarawak, selain mengetengahkan mengenai pasukan keselamatan dalam pertempuran yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dengan pengganas komunis satu ketika dulu.

"Dokumentari yang akan ditayangkan bermula jam 1.15 tengah hari ini akan memaparkan keunikan pasukan keselamatan penting dalam sejarah pertahanan Sarawak.

"Setiap episod memakan masa 30 minit yang memaparkan zaman paling mencabar dalam sejarah pertahanan negara iaitu Darurat.

"Episod pertama berjudul Penjejak Iban lebih dikenali berlaku di Semenanjung Malaysia iaitu peristiwa pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) dari 1968 hingga 1989. Manakala, episod kedua Pengakap Sempadan pemberontakan Parti Komunis Kalimantan yang berlaku dari 1962 hingga 1990," katanya.

Episod ketiga membabitkan pasukan gerakan khas komando, episod empat (pasukan polis hutan), episod lima (batalion pertama Rejimen Bridger Diraja) dan episod enam (Batalion Ketiga Rejimen Bridger Diraja) lebih fokus kepada intergensi di Sarawak.

Menurutnya, Bujang Berani adalah bintang sebenar dokumentari ini.

"Ikutkan ada ramai antara mereka di luar sana dan kami berdepan tugas yang amat berat memilih siapa yang akan diketengahkan untuk episod musim ini.

"Selepas perbincangan dengan mentor-mentor saya dalam kalangan Leftenan Kolonel sebagai rujukan, mereka memutuskan untuk pilih Datuk Awang anak Rawing (penerima pingat George Cross), ASP Menggong anak Panggit (penerima pingat George Medal), ASP Wilfred Gomez Malong, (penerima pingat Panglima Gagah Berani) dan Truper Rasli Buang (Seri Pahlawan Gagah Perkasa).

"Tidak ketinggalan Sub-Inspektor Ngalinuh Bala (Seri Pahlawan Gagah Perkasa), Koperal Etin Bijan (Seri Pahlawan Gagah Perkasa), Pegawai Waran II Lenggu anak Cina (Seri Pahlawan Gagah Perkasa), Sarjan (B) Dajai anak Angie, (Panglima Gagah Berani (PGB), Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah dan Sarjan Peter Bat Wan," katanya.

Yusmal berkata, kini hanya empat sahaja Bujang Berani yang dikenal pasti masih hidup.

"Walaupun sudah tua dan uzur, mereka mempunyai kisah kepahlawanan yang menakjubkan. Misi peribadi saya dengan bantuan mentor ialah mencari mereka dan mendokumentasi mereka sebelum mereka tiada.

"Menjadi harapan saya agar Bujang Berani disambut baik oleh penonton supaya lebih banyak lagi kisah kepahlawanan Sarawak dapat dipertontonkan kepada generasi akan datang. Kita akan selamanya terhutang budi kepada wira-wira ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Suhaimi Sulaiman berkata, pihaknya gembira TVS berjaya diterima baik oleh penonton di Semenanjung Malaysia.

"Kalau kita lihat, pencapaian kami sehingga kini belum pun setahun, namun dah berjaya mencatat lebih tujuh juta penonton. Penonton Sarawak ada 2.9 juta, manakala selebihnya dari Semenanjung. Itu belum lagi dari medium lain. Ada ramai penonton dari Semenanjung yang meminati program yang kami tampilkan antaranya berjudul Rezeki Air," katanya.

Suhaimi berkata, selain Bujang Berani, program istimewa lain yang akan disiarkan pada Hari Sarawak ialah Sejahtera Bumi Sarawak, Tok Bok Nya! dan Muzik Video Puteri Santubong.

Bujang Berani mula bersiaran setiap Khamis jam 1.15 petang menerusi TVS (saluran 122 Astro) dan MYTV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:45 AM