TAN Sri Abang Johari Abang Openg bercakap dengan Datin Rosalind Sitie Jemeni ketika beliau memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Datuk Simon Dembab Maja, hari ini.  FOTO ihsan Jabatan Penerangan
TAN Sri Abang Johari Abang Openg bercakap dengan Datin Rosalind Sitie Jemeni ketika beliau memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Datuk Simon Dembab Maja, hari ini. FOTO ihsan Jabatan Penerangan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Simon Dembab Maja meninggal dunia, Sabtu lalu.

Mendiang Simon, 85, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan swasta, di sini.

Mendiang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri dalam kerajaan campuran Sarawak pada 1970 ketika beliau berada dalam Parti Pesaka.

Kerajaan campuran yang menggabungkan Parti Pesaka, Parti Bumiputera dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu dibentuk selepas pilihan raya negeri Sarawak yang pertama.

Mendiang juga adalah antara pengasas Parti Pesaka Buniputera Bersatu (PBB) ketika parti berkenaan ditubuhkan pada 1973.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Mendiang meninggalkan isteri, Datin Rosalind Sitie Jemeni, tiga anak, tiga cucu serta dua cicit.

Mayat mendiang akan dibawa ke kampung halamannya di Engkilili untuk disemadikan selepas selesai upacara memberi penghormatan terakhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:18 PM