TUN DR Mohd Ali Mohd Rustam FOTO BERNAMA
TUN DR Mohd Ali Mohd Rustam FOTO BERNAMA
Amir Mamat


Ayer Keroh: Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri untuk penggal kedua, hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan yang berlangsung di Balai Istiadat, Seri Negeri di sini dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi 1, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh yang menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Hakim Mahkamah Tinggi 2, Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi tempoh empat tahun.

Mohd Ali, 75, sebelum ini dilantik ke jawatan berkenaan pada 4 Jun 2020 menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Ali, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sastera dan Sains dari Universiti Malaya (UM) pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Pengangkutan serta Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-9 dari 1999 hingga 2013.

Dalam ucapannya, beliau menjunjung kasih dan penghargaan kepada Sultan Ibrahim yang berkenan untuk melantiknya sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7 bagi penggal kedua.

"Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas sokongan terhadap pelantikan saya sehingga diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Adalah menjadi harapan saya supaya Melaka kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana harmoni serta sentiasa menjunjung Perlembagaan dan rukun negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 12:41 PM