KEADAAN MPV dipandu lelaki mabuk. FOTO Polis Daerah Ipoh
KEADAAN MPV dipandu lelaki mabuk. FOTO Polis Daerah Ipoh
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua individu bermotosikal dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Jalan Ashman Shah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan 1.15 pagi itu berlaku apabila pemandu MPV berusia 44 tahun berkenaan melanggar motosikal dinaiki dua mangsa terbabit kemudiannya melanggar sebuah lagi kenderaan ketika mengundurkan kenderaan, sebelum membuat pusingan 'U' dan masuk ke Jalan Kamaruddin Isa.

"Pemandu MPV terbabit hilang kawalan selepas melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu. Akibat kemalangan itu, penunggang serta pembonceng motosikal berusia 27 tahun dan 32 tahun cedera ringan.

"Hasil ujian pernafasan mendapati kadar alkohol dalam badan pemandu MPV melebihi had ditetapkan. Semakan rekod pemandu mendapati dia turut mempunyai 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, pemandu MPV terbabit serta pemandu kereta yang dilanggarnya tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua individu cedera yang menaiki motosikal dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 4:29 PM