Najib bersama penjawat awam selepas Dialog TN50 Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Putrajaya.
Najib bersama penjawat awam selepas Dialog TN50 Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Saya bukan nak cadangkan, tetapi saya bayangkan sebab semua orang ingin perpaduan dan semua itu perlu bermula di sekolah,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dikemukakan seorang penjawat awam mengenai hasrat mewujudkan sekolah satu aliran menjelang 2050 bagi mengukuhkan kesatuan nasional di negara ini.

Najib berkongsi bayangan peribadinya itu pada sesi rumusan Dialog TN50 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama penjawat awam di Dewan Utama, Kementerian Kewangan, pagi semalam.

Menurutnya, semua orang mahukan sebuah negara yang aman pada 2050, namun bagaimana untuk mencapai perpaduan nasional itu?

“Ada yang mencadangkan kita mulakan dari sekolah, namun ini (sekolah satu aliran) perkara yang cukup sensitif kerana Malaysia ada sistem aliran berbeza. Justeru, apa jalan penyelesaiannya.

“Kita bukan nak tutup sekolah Cina dan Tamil, tapi memilih satu sekolah di mana bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar, bahasa Inggeris diperkasakan, manakala bahasa Mandarin dan Tamil dijadikan pilihan wajib termasuk bahasa Arab. Jika pelajar itu pelajar Cina, dia dapat menguasai tiga bahasa,” katanya.

Katanya, sekiranya sekolah satu aliran dilaksanakan, guru yang dilantik juga jangan satu kaum saja, sebaliknya merangkumi pelbagai kaum.

Najib berkata, perkara ini bukan mahu diputuskan hari ini tapi bayangan persoalan yang harus ada untuk memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan nasional di negara ini.

Menurutnya, perkara lain yang dibangkitkan penjawat awam termasuk mewujudkan persekitaran kerja yang seimbang termasuk waktu kerja fleksibel dan anjal.

“Kita akan fikirkan bagaimana untuk mendapat persekitaran kerja yang seimbang nanti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pada 2050, soal nilai masyarakat perlu juga diambil kira dan tidak hanya tertumpu kepada soal keluaran dalam negara (GDP) serta pembangunan saja.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, beliau mahu anggota perkhidmatan awam berusaha ke tahap kemampuan maksimum atau melebihi had dan menolak sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ‘lebih kurang atau ok’ saja.

Beliau juga mahu penyelesaian secara kreatif dan inovatif diamalkan penjawat awam untuk mencapai sasaran lonjakan berganda untuk Malaysia

Lebih 1,000 penjawat awam muda berjaya dikumpulkan pada sesi dialog selama dua jam itu yang turut menampilkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa sebagai moderator.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 2:51 AM