Tun Dr Mahathir bersama Syed Saddiq pada pelancaran MFLS di Universiti Malaya. FOTO Eizairi Shamsudin
Tun Dr Mahathir bersama Syed Saddiq pada pelancaran MFLS di Universiti Malaya. FOTO Eizairi Shamsudin
Idris Musa


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ramai dalam kalangan anak muda Malaysia berpotensi menjadi pemimpin hebat jika diberi peluang dan digilap dengan cara betul.

Menurutnya, mereka akan menjadi aset negara yang tidak ternilai harganya.

“Kita perlu ada keyakinan tinggi dalam diri bahawa kita boleh berjaya dan menjadi lebih baik daripada yang lain.

“Tetapi kita mesti bekerja keras, tidak berputus asa dan sanggup mengulangi usaha itu berkali-kali sehingga kita capai apa yang dihasratkan.

“Saya yakin kita mampu melahirkan generasi pemimpin bertaraf antarabangsa namun masih mengekalkan adat timur dan jati diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika melancarkan Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini.

Hadir sama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Steven Sim.

MFLS adalah program baru dibentuk untuk melahirkan pemimpin belia yang boleh menyumbang sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

Dr Mahathir berkata, ia diharap menjadi platform untuk memupuk ciri kepemimpinan serta nilai murni dalam kalangan anak muda yang akan mewarisi kepemimpinan negara.

“Sudah pasti harapan kita MFLS ini akan berupaya melahirkan barisan kepemimpinan muda bertaraf tinggi yang ada nilai dan jati diri teguh dan mampu memimpin dengan telus serta berintegriti.

“Sudah pasti juga kita di Malaysia sedar dan menjadi saksi bagaimana kepemimpinan yang tidak berintegriti mampu melakukan kerosakan teruk kepada negara dan mungkin terpaksa ditanggung oleh beberapa generasi kemudian.

“Saya percaya jika kita mempunyai nilai baik yang sesuai bagi kita dan kita amalkan sehingga menjadi budaya kita, kita pasti akan berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan kerajaan sejak 1982 masih relevan.

“Walaupun hampir 37 tahun, namun masih relevan hingga hari ini.

“Jepun dan Korea Selatan adalah dua negara yang begitu pesat membangun bahkan dalam beberapa bidang mereka jauh lebih maju dari negara barat.

“Kejayaan kedua-dua negara ini boleh dijadikan contoh dan teladan kepada Malaysia seterusnya dibudayakan bagi mencapai matlamat pembangunan negara.

“Resipi kejayaan kedua-dua negara ini adalah bersandarkan kepada disiplin, kesetiaan kepada negara, keutamaan kepada kehidupan bermasyarakat, penekanan kepada kualiti dan sentiasa mempraktikkan nilai positif dalam kehidupan seharian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:15 PM