SUSPEK yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang penghantar makanan. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang penghantar makanan. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seorang wanita yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjata parang yang menunggang motosikal di Jalan 25/30, Taman Sri Muda Seksyen 25 di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian yang tular di media sosial itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.

Katanya, ketika kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, suspek menarik gelang emas di tangan mangsa wanita yang menunggang motosikal seorang diri.

"Siasatan mendapati, mangsa tidak dicederakan oleh suspek cuma terdapat sedikit kesan calar sikit pada tangan mangsa kerana suspek menarik gelang itu.

"Susulan kejadian itu, mangsa yang berusia 29 tahun membuat laporan polis pada 10.03 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, siasatan mendapati, gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM1,800 itu disamun dua lelaki disyaki warga asing.

"Suspek dua lelaki disyaki warga Indonesia, berbadan kurus menaiki motosikal Yamaha LC warna merah memakai topi keledar masing-masing warna biru dan merah.

"Suspek juga dipercayai memiliki parang yang disembunyikan di dalam bajunya. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, polis sedang memburu suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Roshaza di talian 03-55202222," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial, tangkap layar hantaran yang dipercayai dibuat oleh mangsa dengan menggunakan akaun Facebook Nuratiqa Kamarudin.

Menurut hantaran itu, mangsa tidak dapat mengejar suspek kerana suspek menunjukkan senjata parang selepas meragut gelang mangsa.

Katanya, ketika kejadian tiada orang awam berdekatan mangsa menyebabkan mangsa terpaksa membiarkan suspek melarikan gelangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 10:43 PM