ANGGOTA polis membawa bungkusan yang mengandungi rangka dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud. FOTO BERNAMA
ANGGOTA polis membawa bungkusan yang mengandungi rangka dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud. FOTO BERNAMA
Ahmad Hasbi


Seremban: Misteri penempuan rangka manusia dipercayai milik kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar dekat Jalan Bukit Zamrud, di sini, Khamis lalu dijangka terungkai dalam masa kira-kira seminggu lagi.

Difahamkan, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap tengkorak, geraham dan cebisan rangka yang ditemukan kira-kira jam 11 pagi, Khamis lalu itu, akan diperolehi dalam tempoh berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ujian DNA itu nanti akan menentukan sama ada tulang terbabit sah milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang atau sebaliknya.

"Kita tunggu laporan daripada pihak forensik dan patalogi dahulu. Satu minggu lagi mungkin dapat keputusan DNA," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dan wanita yang mayatnya ditemui di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, di sini, pernah tinggal serumah dengan seorang suspek wanita yang ditahan baru-baru ini.

Nanda berkata, kanak-kanak perempuan berkenaan dan mangsa wanita yang ditemui tanpa identiti pada 20 Mac tidak mempunyai pertalian, namun masing-masing pernah tinggal bersama suspek.

Akhbar ini pada Khamis lalu melaporkan, polis menemui rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di lokasi pencarian di Jalan Bukit Zamrud selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

Pada 28 Mac lalu juga, polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud bagi menunjukkan lokasi tempat kanak-kanak itu ditanam.

Bagaimanapun, polis ketika itu enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Harian Metro pada 21 Mac melaporkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an yang sedang berjoging terkejut apabila menemui mayat wanita tanpa identiti ketika cuba merakam gambar di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus.

Berita berkaitan

Jumpa rangka kanak-kanak: Lelaki dipercayai bapa luah perasaan di FB

Rangka kanak-kanak perempuan ditemukan di Jalan Bukit Zamrud [METROTV]

Pencarian di lokasi penemuan mayat wanita belum berhasil

'Mereka tengah usaha cari' - Timbalan KP Negeri Sembilan [METROTV]

Kes jumpa mayat di gaung kini kes bunuh [METROTV]

Tiga ditahan bantu siasatan penemuan mayat wanita

Punca wanita mati di belukar masih misteri

Nak rakam gambar, terjumpa mayat pula

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 10:16 AM