FATIMAH ditemui media pada persidangan Dun Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
FATIMAH ditemui media pada persidangan Dun Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Individu tanpa kewarganegaraan berusia 21 tahun ke bawah yang lahir di Sarawak dibenarkan memohon dokumen sementara bagi memudahkan mereka memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengeluaran Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) itu dipersetujui kerajaan Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tempoh hanya sebulan selepas permohonan dibuka pada 1 November lalu, sebanyak 60 permohonan diterima bagi mendapatkan DSITKS.

"DSITKS bukanlah dokumen kewarganegaraan Malaysia dan tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya.

"Ia adalah dokumen sementara bagi memudahkan pemegangnya yang sememangnya lahir dan membesar di Sarawak, tetapi masih belum mendapatkan taraf kewarganegaraan untuk mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan surat keputusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan kepada kanak-kanak berusia empat tahun Mikayla Hanna di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, permohonan untuk mendapatkan DSITKS boleh dimajukan terus di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti atau menerusi Pejabat Daerah yang terdekat.

"Bagi tujuan ini, pemohon hendaklah memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak berstatus Warganegara Belum Ditentukan dan telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

"Selain itu, pengesahan ketua masyarakat setempat serta individu lain seperti jururawat atau bidan yang menyambut kelahiran pemohon juga akan mengukuhkan bukti untuk pengeluaran DSITKS," katanya.

Menurutnya, tempoh sah laku DSITKS adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan permohonan.

"Permohonan melanjutkan tempoh DSITKS boleh dilakukan sekiranya pemegang masih belum memperoleh kewarganegaraan dan dokumen perlu dikembalikan ke kementerian sebaik sahaja pemegang memperoleh kewarganegaraan dan kad pengenalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 5:46 PM