FATIMAH (tengah) berbual dengan salah seorang kanak-kanak yang menerima taraf kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. FOTO Mohd Roji Kawi
FATIMAH (tengah) berbual dengan salah seorang kanak-kanak yang menerima taraf kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, sedang meneliti kaedah bagi menangani isu memasukkan indikator 'K' ke dalam kad pengenalan pemastautin di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia membabitkan pemastautin yang perlu membuktikan keberadaannya di Sarawak yang disahkan secara bertulis daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Pejabat Premier Sarawak.

Menurutnya, perbincangan awal antara KPWK, Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Jabatan Pendaftaran Negara dan JIM Sarawak, sudah dilaksanakan April lalu namun perbincangan lanjut perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian tuntas.

"Justeru, KPWK akan membawa isu itu kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi mendapatkan kaedah atau pendekatan bagi menanganinya," katanya pada Majlis Penyerahan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching, di sini, tadi.

Seramai 24 kanak-kanak yang memohon taraf kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan menerima dokumen kewarganegaraan pada majlis itu.

Fatimah berkata, indikator 'K' di dalam kad pengenalan amat penting untuk membuktikan individu itu adalah warga Malaysia yang berasal dari Sarawak.

"Kalau kad pengenalannya tidak ada indikator 'K' maknanya dia bukan orang orang Sarawak dan kalau sudah capai umur 21 tahun dia hendak bekerja, tiada 'K' dia perlu memohon permit kerja pula.

"Begitu juga jika hendak memohon bantuan Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pelajaran peringkat tinggi. Bagi mendapat pinjaman kewangan syaratnya mestilah anak Sarawak, jadi 'K' itu menjadi sangat signifikan," katanya.

Menurutnya lagi, isu untuk memasukkan indicator 'K' timbul apabila anak yang diambil sebagai angkat yang tidak diketahui maklumat ibu bapa kandungnya.

"Kalau diketahui siapa ibu bapa kandung dan mereka juga memiliki indikator 'K' tidak ada masalah.

"Tetapi bagi anak yang tidak diketahui ibu bapa kandungnya kerana ditemui dibuang, kemudian diambil sebagai anak angkat oleh warga Sarawak, ini yang masalah," katanya.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, mengikut ketetapan JPN, syarat untuk memasukkan indikator 'K' di dalam kad pengenalan warga Malaysia yang bermastautin di Sarawak adalah seseorang itu pernah memiliki kad pengenalan plastik (KPP) atau lebih dikenali kad pengenalan biru.

"Syarat lain ialah anak yang dilahirkan di mana-mana wilayah di Malaysia sekiranya kad pengenalan ibu bapanya ada indikator 'K'.

"Anak yang dilahirkan di luar Malaysia pula layak jika ibunya adalah pemegang kad pengenalan yang ada indikator 'K' dan kelulusan Pengarah Pendaftaran Negara Negeri Sarawak (PPNS) perlu jika kad pengenalan bapa tiada 'K'," katanya.

Menurutnya lagi, bagi anak yang diberi taraf kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, pemberian 'K' adalah mengikut indikator ibu atau bapa tertakluk kepada sijil kelahiran asal anak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 3:53 PM