Muhammad Razin (kanan) menyerahkan Mykad kepada penduduk di Pejabat JPN Kudat. Foto BERNAMA
Muhammad Razin (kanan) menyerahkan Mykad kepada penduduk di Pejabat JPN Kudat. Foto BERNAMA
BERNAMA

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan khabar angin kononnya ada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah diberikan Mykad atau sijil lahir.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pengeluaran Mykad atau sijil lahir berdasarkan status kewarganegaraan ibu dan bapa kanak-kanak yang lahir di negara ini.

“Jika ibu dan bapa kanak-kanak ini bukan warganegara, kita tidak boleh berikan sijil lahir seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Kalau ada dakwaan mengatakan kita mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada PATI, itu tidak benar dan hanya fitnah.

“Semua dokumen dikeluarkan JPN mengikut proses dan prosedur ditetapkan,” katanya selepas melawat pejabat JPN Kudat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelbagai dakawaan ditular di media sosial bahawa kerajaan memberikan dokumen pengenalan diri kepada PATI di Sabah.

Ketika diminta mengulas mengenai pengeluaran Mykad palsu didakwa berlaku di Sabah susulan tangkapan seorang lelaki warga Filipina memohon kerja menggunakan Mykad palsu di Sitiawan, Perak, bulan lalu, Mohammad Razin berkata perkara itu adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

“Memang ada Mykad palsu, namun mudah dikenal pasti pegawai JPN kerana tidak sama seperti yang tulen,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Razin berkata, JPN Sabah akan terus melaksanakan Program Mobile Ihsan khususnya di pedalaman yang sukar untuk pemohon mendapatkan akses ke pejabat JPN.

“Kita mahu pastikan mereka yang layak memperolehi Mykad atau sijil lahir walau di mana pun berada, pegawai kita akan ke lokasi bagi memastikan mereka mendapatkan dokumen pengenalan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:06 PM