Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu penduduk tanpa dokumen yang sah di negeri ini yang kini berjumlah lebih 9,000 orang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,756 individu didapati tiada dokumen dengan kebanyakkannya membabitkan penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.

Menurutnya, selebihnya memiliki sijil lahir tetapi status belum ditentukan, memiliki sijil lahir tetapi bukan warganegara serta pemegang kad pengenalan hijau.

"Isu itu akan ditangani sepenuhnya pasukan petugas khas yang dibentuk KDN bersama Jabatan Premier Sarawak.

"Saya percaya dengan kerjasama itu, isu dokumen pengenalan diri dapat diatasi segera kerana kita sudah tahu di mana keberadaan mereka yang menghadapi masalah berdasarkan maklumat pangkalan data di Jabatan Premier Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Bagi 946 permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan khusus untuk individu berusia 21 tahun ke bawah yang ditangani sejak awal tahun ini, Saifuddin berkata, ia kini sudah diselesaikan sepenuhnya.

"Isu di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan ditangani oleh jawatankuasa bersama antara KDN dengan KPWKK dan kini semua 946 permohonan itu sudah diselesaikan," katanya.

Katanya, Sarawak adalah satu-satunya kerajaan negeri yang membentuk jawatankuasa bersama dengan KDN bagi menyelesaikan isu berkaitan dokumen pengenalan diri serta taraf kewarganegaraan itu.

Saifuddin menyampaikan Sijil Kewarganegaraan pada Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak di bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia
Saifuddin menyampaikan Sijil Kewarganegaraan pada Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak di bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:49 PM