Rashidah (duduk)   mendengar  taklimat  mengenai video STEM oleh Pengurus Sumber Pembelajaran Terbuka UTM, Dr Nurbiha A Shukor (kanan) selepas dilancarkan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, semalam.
Rashidah (duduk) mendengar taklimat mengenai video STEM oleh Pengurus Sumber Pembelajaran Terbuka UTM, Dr Nurbiha A Shukor (kanan) selepas dilancarkan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kajang: Kementerian Pendidikan melancarkan projek video subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai alternatif untuk membantu Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) guru bagi meningkatkan penguasaan murid dalam mata pelajaran berkenaan.

Ia adalah video interaktif lengkap yang mengandungi pengenalan kepada topik, aktiviti murid, penyampaian maklumat, pengayaan dan rumusan kefahaman, panduan guru serta bahan rujukan lanjutan untuk pembelajaran kendiri murid.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, kajian menunjukkan kelompok murid Generazi Z kurang mempunyai kemampuan untuk memberi perhatian dalam tempoh yang lama.

Disebabkan itu kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dimantapkan dengan penggunaan teknologi bagi menarik minat dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap mata pelajaran berkenaan.

Katanya, pembelajaran abad ke-21 memfokuskan tiga komponen utama iaitu pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi serta pengetahuan kandungan menerusi konsep 4C iaitu komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis dan kreativiti yang berupaya melahirkan murid berkemahiran pemikiran kreatif.

“Menerusi penghasilan video ini, murid akan terbabit secara langsung terutama semasa penyediaan aktiviti pembelajaran, penyediaan prop dan lakonan.

“Video interaktif ini mampu membantu guru mempelbagaikan kaedah PdP yang boleh diakses serta dimuat naik secara percuma untuk kegunaan sekolah, murid dan masyarakat,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan KPM Datuk Rashidah Md Arif ketika merasmikan Majlis Pelancaran Video STEM KPM bersama Projek STEMazing Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 9:04 AM