MOHD Sirhajwan (kiri), Nurazilah kanan) dan Sydney (tengah) memenangi anugerah pada ELTons Innovation Awards. FOTO Mohd Sirhajwan Idek
MOHD Sirhajwan (kiri), Nurazilah kanan) dan Sydney (tengah) memenangi anugerah pada ELTons Innovation Awards. FOTO Mohd Sirhajwan Idek
MOHD Sirhajwan menyertai majlis ELTons Innovation Awards di London secara dalam talian. FOTO ihsan pembaca
MOHD Sirhajwan menyertai majlis ELTons Innovation Awards di London secara dalam talian. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Projek 'Dau-Dau' menggabungkan seni persembahan, penulisan dan visual yang diilhamkan tiga guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah menerima anugerah hakim bagi kesaksamaan, kepelbagaian dan inklusif pada ELTons Innovation Awards.

Majlis Anugerah Inovasi Bahasa Inggeris terbabit adalah anjuran British Council di London pada 30 November lalu.

Projek 'Dau-Dau' yang bermaksud dahulu kala dalam Bahasa Bajau diilhamkan tiga guru Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau, Sabah iaitu Dr Mohd Sirhajwan Idek, 35, Nurazilah Othman, 42, dan Sydney Engelbert Ganggang, 28.

Mohd Sirhajwan berkata, mereka bersyukur dan gembira dengan kejayaan itu kerana ia adalah kali pertama negara berjaya tersenarai di peringkat akhir anugerah berkenaan.

Menurutnya, mereka mendapat bimbingan Macmillan Education and International House World Organization yang turut diiktiraf dalam penganugerahan itu.

"Majlis anugerah itu dilaksanakan secara bersemuka dan turut disiarkan secara langsung melalui aplikasi tertentu. Kami bertiga juga hadir secara dalam talian.

"Kami berbangga dengan anugerah ini sekali gus ia sebagai pengiktirafan untuk negara khususnya komuniti pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu mendapat penghargaan

Pengarah kolej berkenaan Johari @ Jaibet Sabin yang turut memuji usaha mereka memperkayakan pengalaman belajar penuntut institusi itu sambil memberi peluang untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka.

"Projek itu juga mampu membantu memelihara warisan budaya kerana ia bertemakan cerita rakyat dan budaya etnik," katanya.

Katanya, projek berkenaan membimbing pelajar menghasilkan hasil karya seni dalam bidang seni persembahan, seni penulisan, seni visual atau gabungan bidang seni itu sekali gus mengasah bakat dan menunjukkan kreativiti mereka.

Menurutnya, setakat ini hampir 160 pelajar sudah menghasilkan pelbagai video persembahan seperti boneka, teater pembaca, pantomim, drama radio, monolog dan animasi.

"Hasil karya ini dipertandingkan dalam festival seni dalam talian dan ramai pelajar ini berjaya memenangi anugerah melalui pertandingan itu.

"Selain itu, beberapa pelajar juga menghasilkan karya penulisan seperti puisi, cerpen, esei serta hasil seni lukisan yang telah diterbitkan di majalah yang berpangkal di Britain.

"Projek itu juga memberi alternatif seperti bahasa isyarat dan animasi kepada pelajar berkeperluan khas agar mereka juga dapat menghasilkan karya sendiri dan menyertai pertandingan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan projek 'Dau-Dau' membawa tuah kepada tiga guru terbabit apabila dipilih sebagai finalis Anugerah Inovasi Pendidikan United Kingdom dalam kategori inovasi tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:08 PM