MURID Tahun satu Sekolah Kebangsaan Seri Perak, Adi Talib, 7 belajar di rumahnya di Bandar Baru Sentul dengan menonton Slot program TV Pendidikan. FOTO Aswadi Alias
MURID Tahun satu Sekolah Kebangsaan Seri Perak, Adi Talib, 7 belajar di rumahnya di Bandar Baru Sentul dengan menonton Slot program TV Pendidikan. FOTO Aswadi Alias
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap setiap murid Tahun Satu menjalani program intensif transisi untuk meningkatkan kemampuan penguasaan 3M iaitu menulis, membaca dan mengira.

Untuk rekod, bilangan murid Tahun Satu bagi kemasukan 2021 adalah membabitkan seramai 429,275 murid.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, akibat pandemik Covid-19, tempoh murid berkenaan menjalani prasekolah tahun lalu secara bersemuka sangat singkat dan ia mungkin menjejaskan penguasaan 3M.

"Penguasaan membaca, menulis dan mengira untuk golongan murid ini tentunya kita ada rasa kebimbangan.

"Prasekolah (tahun lalu) tempoh (bersemuka) di sekolah pendek. Terdapat mungkin perbezaan dari segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu di rumah.

"Kita mencadangkan proses transisi sebelum murid menganjak ke Tahun Satu iaitu selama selama 43 hari yang bermula apabila kita memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari lalu," katanya dalam sidang media secara atas talian, hari ini.

Menurutnya, mungkin guru ada programnya sendiri dalam permulaan persekolahan nak memberikan pengenalan dan sebagainya.

Tetapi, katanya, selepas guru melakukan program yang mereka sudah rancang itu, guru berkenaan bolehlah melaksanakan program transisi itu.

"Dari segi berapa ramai murid, kita berharap semua murid daripada pra-sekolah ke tahun satu melalui program transisi ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPM tidak akan menurunkan gred pemarkahan atau pengubahsuaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sesi 2020.

Ini kerana, katanya, sijil SPM dan STPM diiktiraf oleh University of Cambridge masing-masing untuk peringkat O-Level dan A-Level.

"Jika kita membuat sebarang perubahan kepadanya, kita akan hilang pengiktirafan berkenaan.

"KPM tidak mahu calon bagi kelas peperiksaan tidak memperoleh pengiktirafan bagi sijil mereka.

"Mungkin peluang untuk meneruskan pengajian atau memasuki bidang kerjaya terjejas sebab pengiktirafan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 8:21 PM