ANGGOTA pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Audrey Dermawan; Shamsul Munir Safini dan Muhammad Yusri Muzamir


DUA maut, seorang cedera manakala 10 lagi pekerja binaan dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong di Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.56 tengah hari itu, terdapat antara enam hingga 10 kontena didiami pekerja binaan terbabit menggelongsor ekoran runtuhan tanah dipercayai akibat hujan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata, mangsa yang maut masing-masing dikenal pasti lelaki warga Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, status kewarganegaraan mangsa lelaki yang cedera di bahagian kaki belum dikenal pasti dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Ketiga-tiga mangsa ditemui di kawasan berhampiran dan tertimbus di bawah kontena, selain mereka dipercayai mendiami kontena sama. Malah, longgokan tanah di kawasan itu adalah setinggi lima meter.

“Semua kontena ini menggelongsor kira-kira 50 meter dari lokasi asal, iaitu di kawasan lapang di tengah-tengah lereng bukit. Kita gagal mengenal pasti jumlah rumah kongsi lain kerana struktur berkenaan musnah sepenuhnya.

“Seramai 10 lagi mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam runtuhan ini dengan tiga daripadanya masing-masing disahkan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar,” katanya pada sidang media, hari ini.

Minggu lalu, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan lebuh raya itu runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plat keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit, kira-kira jam 8 malam.

Projek bernilai RM545 juta itu adalah laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Saadon berkata, pihaknya menunggu bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) tiba di lokasi kejadian bagi mengenal pasti lokasi tepat mangsa yang masih tertimbus dalam runtuhan terbabit.

“Kita mengalami kesukaran untuk mencari mangsa kerana struktur tanah di mana operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan berjalan secara berterusan, bergantung kepada keadaan cuaca dan pencahayaan,” katanya.

Seramai 145 anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi ini, masing-masing 30 anggota JBPM negeri, manakala 69 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dari Perlis dan Kedah, polis (35) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (24).

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menzahirkan rasa sedih dan dukacita kepada semua waris mangsa kejadian runtuhan tanah di tapak projek seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terbabit.

“Mana-mana kejadian (kemalangan di) projek pembinaan adalah dikesali tetapi projek perlu dijalankan dalam keadaan lebih prihatin terhadap keselamatan tapak.

“Keadaan cuaca tak menentu dan terdapat pengairan di lereng bukit dipercayai punca kejadian, selain mempertimbang cadangan untuk mewujudkan suruhanjaya siasatan berhubung kejadian ini.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kerja pembinaan dijalankan di tapak ini selepas arahan pemberhentian kerja dikeluarkan susulan kejadian runtuhan rasuk, minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 9:42 PM