Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin Hassan.
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan memutuskan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei depan, melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi pada jam 5 petang, Isnin ini.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan di Selangor.

"Kita akan putuskan calon yang akan bertanding pada mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Kredibiliti calon yang akan dipilih juga akan dibincangkan nanti pada mesyuarat terbabit.

"Calon yang akan dipilih nanti juga adalah individu yang layak dan ada peluang untuk memenangi hati pengundi di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Perikatan Nasional (PN) masih belum dimuktamadkan calonnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini meskipun sudah menerima senarai calon.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya sudah ada senarai cadangan calon bagi PRK itu.

Katanya, pada masa ini sesiapa saja boleh membuat cadangan calon yang mereka rasakan layak dan boleh memberikan kemenangan kepada PN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:51 AM