DATUK Mohd Amar Nik Abdullah
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pas menyerahkan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menghantar calon yang akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya yakin dapat memenangi kerusi di kerusi berkenaan selepas melihat keadaan dan isu hari ini yang membabitkan ketidakpuasan hati rakyat.

"Pada hari ini rakyat tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barang selain masalah ekonomi, dalam situasi ini kita percaya boleh meyakinkan rakyat mengenai kemampuan kita dan insya-Allah boleh menang dengan bergaya.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, gelombang sokongan rakyat kepada PN dilihat masih kekal ditambah pula dengan isu yang dihadapi rakyat ketika ini," katanya kepada pemberita selepas

Sambutan Aidilfitri Pas Kawasan Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.

Mohd Amar berkata, kemungkinan kerusi di PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan ditandingi oleh Gerakan kerana berdasarkan persetujuan pada PRU15.

"Bagaimanapun setakat ini belum ada keputusan, jadi kemungkinan besar Gerakan akan bertanding.

"Bagi Pas, kita ada keyakinan PN boleh merampas kerusi ini tidak kira sama ada calonnya daripada Gerakan, Pas atau Bersatu " katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, Lee menewaskan Perikatan Nasional (PN), Henry Teoh Kien Hong (PN) dengan dengan majoriti 4,119 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 4:31 PM