TIMBALAN  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah (dua dari kiri) meninjau gerai pameran selepas merasmikan Seminar 'Pusat Kitar Semula Langkawi Hijau' di Hotel Adya Langkawi, sebentar tadi. FOTO Hamzah Osman
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah (dua dari kiri) meninjau gerai pameran selepas merasmikan Seminar 'Pusat Kitar Semula Langkawi Hijau' di Hotel Adya Langkawi, sebentar tadi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Kaedah pelupusan sampah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara disaran beralih menggunakan teknologi terkini, berbanding kaedah konvensional secara penimbusan di tapak pelupusan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Abu Bakar Mohamad Diah berkata, kaedah penimbusan tidak lagi relevan, khususnya bagi kawasan yang menerima lambakan sisa pepejal.

"Misalnya, lambakan sisa pepejal mencecah 110 metrik tan sehari di Langkawi boleh diselesaikan menggunakan teknologi dan MOSTI ada membelanjakan sejumlah wang membuat kajian berkaitan perkara ini.

"Bagaimana pun, penggunaan teknologi perlu mendapat kerjasama semua pihak termasuk pemimpin, pegawai kerajaan dan masyarakat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pusat Kitar Semula Langkawi Hijau di Hotel Adya Langkawi, di sini, sebentar tadi.

Abu Bakar berkata demikian ketika mengulas isu pelupusan sampah di pulau ini yang didakwa semakin kritikal selepas loji insinerator di Kampung Kisap di sini, gagal beroperasi kerana mengalami masalah teknikal sejak lebih setahun lalu.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, MOSTI menerusi Dana Inovasi Sosial (MSI) berjumlah RM300,000 bersedia membantu PBT Langkawi menyelesaikan isu itu dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 4:36 PM