Raja Noraina Raja Rahim


TARIKH tutup permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dilanjutkan sehingga 17 April ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, lanjutan kerana kesukaran calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf mendapat akses internet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menyedari akan hal itu, kementerian bersetuju melanjutkan tarikh tutup permohonan kemasukan ke enam institut pengajian melalui saluran UPUOnline bermula 7 April kepada 11.59 malam, 17 April.

“Manakala hari terakhir bagi calon membeli nombor UNIK di BSN bagi tujuan permohonan adalah pada 16 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan permohonan calon SPM bagi kemasukan ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA dijangka diumumkan pada 3 Jun.

Manakala, keputusan permohonan calon STPM atau setaraf bagi kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda di UA dijangka diumumkan pada 18 Ogos.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh layari laman rasmi Facebook UPU atau tontoni Facebook Live yang disiarkan setiap hari sehingga 14 April pada 10 pagi hingga 11 pagi dan 3 petang hingga 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 11:18 AM