Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM150,000 melalui wakalah zakat korporatnya bagi melaksanakan program pendawaian elektrik di rumah penduduk asnaf di negeri ini pada tahun ini.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Mohamad Mohyddin Mohamed Nor berkata, sebanyak 40 keluarga asnaf di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu akan menerima manfaat berkenaan.

"Kami menjalinkan kerjasama dengan jawatankuasa penduduk setempat, pihak berkuasa tempatan serta badan bukan kerajaan untuk mengenal pasti keluarga asnaf yang layak.

"Kerja-kerja pendawaian elektrik itu akan dilakukan oleh wakil syarikat bertauliah yang dilantik melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB untuk pelajar asnaf di daerah Besut di Gong Kemuntong, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pegawai Daerah Besut, Azran Amin Mazlan serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Rosli Abdul Rahman.

Mohyddin berkata, kerja-kerja pendawaian elektrik berkenaan bergantung kepada keperluan keluarga asnaf sama ada menggantikan pendawaian elektrik lama atau membuat pendawaian elektrik baru.

"Setiap pendawaian elektrik perlu ditukar apabila sampai tempohnya untuk memastikan keselamatan isi rumah," katanya.

MOHAMAD Mohyddin (tiga kiri) bersama wakil jabatan serta penerima bantuan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan  Pekerja Islam TNB untuk pelajar asnaf daerah Besut, di Gong Kemuntong. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MOHAMAD Mohyddin (tiga kiri) bersama wakil jabatan serta penerima bantuan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB untuk pelajar asnaf daerah Besut, di Gong Kemuntong. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 3:16 PM