Sukarelawan membantu mengisi air ke dalam tangki yang disediakan JBPM sebelum diagihkan. FOTO GHAZALI KORI
Sukarelawan membantu mengisi air ke dalam tangki yang disediakan JBPM sebelum diagihkan. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply

Besut: Sebanyak 1.84 juta liter air sudah diagihkan untuk kegunaan penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air susulan kebocoran paip di dasar Sungai Besut, Jambatan Kampung Lampu, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, agihan itu dilakukan secara berpusat bermula 1 Januari lalu hingga semalam.

Beliau berkata, terdapat dua jentera 'water tanker' berkapasiti 20,000 liter air masing-masing sebuah dari BBP Jerteh dan Marang ditempatkan di Dataran Limbungan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, di sini sejak 1 Januari lalu.

"Kita letak dua 'water tanker' yang setiap satunya berkapasiti 20,000 liter dan ia diletakkan di dataran ini bagi memudahkan proses agihan bekalan air dilakukan sukarelawan yang membantu membawa air ke kawasan kediaman penduduk yang terjejas.

"Kita berdepan sedikit kesukaran menghantar bekalan air menggunakan jentera memandangkan ada sesetengah kawasan yang terjejas tidak dapat dilalui jentera dan sebab itu kita letak 'water tanker' itu di sini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Azrul Izzham berkata, penugasan pengagihan dilakukan secara bersasar kepada premis kerajaan dan enam tangki statik yang ditempatkan di kawasan terjejas.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) dengan mengambil air daripada pili bomba yang ditentukan pihak berkenaan bagi memastikan kualiti sumber air yang dibekalkan.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di 11 kampung di sekitar Besut mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 2,670 akaun pengguna selama 21 hari bermula 1 Januari lalu.

Ia berpunca daripada kebocoran paip bersaiz 600 milimeter (mm) di dasar Sungai Besut berhampiran Jambatan Kampung Lampu, Besut dan gangguan bekalan air itu berlaku sementara kerja-kerja pembaikan dilakukan kontraktor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 1:01 PM