ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Hutan Gelam di Paya Rawa, Besut yang terbakar sejak tengah hari. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Hutan Gelam di Paya Rawa, Besut yang terbakar sejak tengah hari. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Kira-kira 9.5 hektar Hutan Gelam di Paya Rawa, Besut, di sini terbakar sejak tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari.

Katanya, seramai 12 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan serta Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika sampai ke lokasi kejadian kebakaran sudah merebak hampir 50 meter daripada kawasan perumahan berhampiran.

"Anggota bertugas kemudian melakukan teknik pemisah api dan 'direct method' bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan lebih luas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, keadaan cuaca panas dan kering serta angin kencang menyebabkan api merebak dengan lebih cepat.

"Setakat ini sebahagian kawasan yang terbakar itu berjaya dipadamkan serta terkawal.

"Bagaimanapun anggota kita sentiasa memantau keadaan semasa untuk mengelakkan kejadian sama kembali berulang ke lokasi berhampiran," katanya.

Azrul berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, orang ramai juga disarankan tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim panas untuk mengelakkan kebakaran itu menjadi lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 6:57 PM