GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Norhidayah Mohd Yunus dan Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Ramai ibu bapa melahirkan kebimbangan berikutan anak-anak menunjukkan tingkah laku negatif berikutan pendedahan dan penggunaan gajet yang berlebihan.

Eksekutif swasta Norhafiza Mat Saad, 38, berkata empat anaknya berusia lima hingga 15 tahun akan menunjukkan sikap memberontak setiap kali telefon bimbit atau tablet mereka diambil.

"Mereka akan mengamuk dan tidak mendengar kata sekiranya saya merampas gajet mereka.

"Saya dan suami sedar perkara ini dan fikir penyelesaian terbaik untuk mendisiplinkan mereka," katanya.

Pengalaman yang sama turut dirasai suri rumah Siti Hajar Ismail, 44, apabila memberitahu anak lelakinya berusia tujuh tahun menunjukkan ketagihan dengan gajet.

Menurutnya, dia risau apabila sering melihat anaknya seakan-akan tidak boleh 'lepas' daripada gajetnya.

"Kalau boleh pergi ke mana-mana sahaja dia mahu bawa gajetnya. "Maka disebabkan itu saya menetap had waktu untuk menggunakan gajet supaya anak tidak terleka dan kerja sekolahnya tidak terabai," katanya.

Kakitangan swasta Marliza Omar, 45, mengakui penetapan had masa untuk penggunaan gajet kepada empat anaknya penting bagi mendidik dan memantau aktiviti yang mereka lakukan.

"Pada hujung minggu, saya hanya menetapkan masa selama dua jam sahaja untuk mereka menggunakan gajet, selepas itu mereka dilarang sama sekali melainkan ada keperluan.

"Jadi selesai dua jam, gajet itu akan terkunci dengan sendirinya. Selepas mempraktikkan kaedah ini, anak-anak tidak mengamuk kerana sudah terbiasa, malah tingkah laku mereka juga bertambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:46 PM