GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Penggunaan payung terjun agak sukar dalam situasi terbabit kerana kembangan optimumnya bergantung pada ketinggian atau altitud individu terbabit.

Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT), Profesor Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, setiap payung terjun ada dimensi tertentu di mana lebaran atau kembangan payung terjun adalah berbeza.

"Jikalau dilihat dari rumus matematik berkaitan fungsi dan dinamik payung terjun, faktor lain yang memberi kesan pada lebaran payung terjun adalah kelajuan pesawat dan sama ada pesawat berada pada keadaan laminar atau turbulence.

"Dan faktor ini akan menjurus kepada Severity Index yang memaparkan sama ada individu itu akan mengalami kecederaan yang teruk atau tidak semasa penerjunan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas persoalan ditimbulkan orang ramai berkaitan penggunaan payung terjung dalam insiden dua helikopter TLDM yang bertembung menyebabkan 10 pegawainya terkorban.

Terdahulu, dalam kejadian 9.30 pagi semalam, tujuh pegawai TLDM berada dalam helikopter HOM, manakala tiga lagi dalam helikopter Fennec yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sebelum dilaporkan bertembung dan terhempas.

Susulan itu, TLDM memaklumkan pihaknya akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas dua helikopter terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:31 PM