AMBULANS tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, yang membawa mangsa nahas dalam insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. FOTO BERNAMA
AMBULANS tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, yang membawa mangsa nahas dalam insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. FOTO BERNAMA
Noor Hidayah Tanzizi dan Muhamad Lokman Khairi dan Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tiga daripada 10 mangsa nahas dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, semalam, selesai dibedah siasat, malam tadi.

Difahamkan, proses bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, membabitkan tiga jenazah mangsa wanita.

Bedah siasat ke atas tujuh lagi mangsa lain akan disambung bermula pagi ini.

Sementara itu, suasana di perkarangan Jabatan Forensik HRPB dalam keadaan tenang dan terkawal, serta puluhan ahli keluarga mangsa mula tiba di kawasan berkenaan seawal 7 pagi.

Turut berada di lokasi, anggota serta pegawai TLDM yang membantu pengurusan jenazah.

Selain itu, dua trak TLDM dilihat di kawasan Jabatan Forensik HRPB, membawa 10 keranda untuk membawa jenazah.

Puluhan pengamal media dari beberapa agensi juga berada di perkarangan jabatan itu untuk membuat liputan berkaitan.

Semalam, negara dikejutkan dengan nahas berkenaan yang berlaku ketika dua helikopter menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut, jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 10:46 AM