Nga Kor Ming ketika berucap di hadapan kira-kira 25 pemberita yang diraikan dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media anjuran DAP Perak di restoran Warung Theater @ Cathay di Jalan Dato Onn Jaafar, di sini, malam tadi. foto MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Nga Kor Ming ketika berucap di hadapan kira-kira 25 pemberita yang diraikan dalam majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media anjuran DAP Perak di restoran Warung Theater @ Cathay di Jalan Dato Onn Jaafar, di sini, malam tadi. foto MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
BERNAMA

Ipoh: Perak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan berlangsung pada 4 Mei ini.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, sambutan itu diadakan di taman tema terkemuka Lost World of Tambun dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan berkenaan, antaranya pertunjukan bom air dan helikopter serta kemunculan 'Abang Bomba' yang bakal mencuri tumpuan pengunjung hadir.

"KPKT juga berjaya mendapat dana daripada kerajaan berjumlah RM267 juta bagi perolehan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan peruntukan itu termasuk pembelian 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang canggih bernilai RM147 juta.

"Peruntukan ini adalah tertinggi dalam sejarah untuk perolehan pasukan JBPM sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada Wira Merah negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pengamal media anjuran Ibu Pejabat DAP Perak di sebuah restoran di sini, malam tadi.

Nga berkata, Perdana Menteri juga dijangka merasmikan Taman Rekreasi Madani pertama, yang siap sepenuhnya di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun, pada hari sama.

"KPKT akan memperuntukkan RM50 juta untuk membina taman rekreasi awam di seluruh negara dan sejumlah 22 taman rekreasi awam dibina di Perak membabitkan peruntukan sebanyak RM11 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 9:33 AM