VIDEO viral bas milik PDRM yang didakwa melanggar Proton Wira di persimpangan lampu isyarat Taman Greenwood, Jalan Batu Caves.
VIDEO viral bas milik PDRM yang didakwa melanggar Proton Wira di persimpangan lampu isyarat Taman Greenwood, Jalan Batu Caves.
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Pemandu Proton Wira mendakwa dilanggar bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Taman Greenwood, Jalan Batu Caves, di sini diminta tampil bagi membantu siasatan.

Kejadian dilapor berlaku pada 6 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi dua minit 10 saat berhubung kejadian itu yang dimuat naik pemilik akaun @deafebianschannel1 di aplikasi TikTok semalam.

"Rakaman video itu menunjukkan bas tertera Polis Kuala Lumpur membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat dan melanggar sebuah Proton Wira ketika bas berkenaan mengundur.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian berlaku jam 2.30 petang 6 Disember lalu dengan bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Batu Caves menghala ke Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 112 LN170/59.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu serta pemilik akaun TikTok @deafebianschannel1 dan pemandu Proton Wira terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 12:02 AM