Nancy Shukri, hadir pada Program Ramah Mesra Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Bersama Kumpulan Sasar di Dewan Serbaguna, Wisma SABATI Kuching, Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Nancy Shukri, hadir pada Program Ramah Mesra Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Bersama Kumpulan Sasar di Dewan Serbaguna, Wisma SABATI Kuching, Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kaunselor Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah menangani kes seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli anak jiran di Hulu Langat, Selangor.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia tindakan awal yang diambil pihaknya sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Justeru, beliau menafikan dakwaan di media sosial bahawa pihaknya tidak respon terhadap kes yang tular itu.

"Apabila mengetahui satu-satu kes pegawai dan kaunselor kami yang terlatih akan segera menanganinya.

"Dalam kes itu, semuanya sudah kami tangani, tetapi ada yang mendakwa kami tidak respon, itu silap sebab kami sudah bertindak segera sebaik mengetahuinya dan sekarang kes itu dalam siasatan polis," katanya pada Majlis Mesra KPWKM Bersama Kumpulan Sasar di sini, hari ini.

Seramai 3,500 kumpulan sasar terdiri daripada penghuni rumah kanak-kanak, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) diraikan pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya juga masih menunggu hasil siasatan polis mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2002 untuk memastikan kemungkinan ada unsur pengabaian dalam kes berkenaan.

"Selepas hasil siasatan polis diperoleh (jika berlaku pengabaian) kita akan mengambil langkah seterusnya termasuk mendapatkan perintah mahkamah," katanya.

Semalam polis mengesahkan menerima laporan kejadian kanak-kanak berusia lapan tahun, dipercayai menjadi mangsa buli anak jiran di Hulu Langat, di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada pengasuh mangsa pada 11 April lalu.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa didapati mengalami kecederaan di kaki dan polis mengenal pasti empat hingga lima suspek berusia antara enam dan lapan tahun.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan terhadap dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didakwa biadap terhadap pasangan gelandangan di Kuala Lumpur, Nancy, berkata masa dua minggu diperlukan bagi melengkapkan siasatan itu.

"Tunggu seminggu lagi. Siasatan baru dijalankan minggu ini dan ia perlu dijalankan dengan teliti.

"Siasatan itu dikendalikan pegawai dari pejabat saya (pejabat Menteri KPWKM)," katanya.

Menurutnya lagi, pasangan warga emas itu juga sudah ditempatkan di rumah transit yang disediakan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan beberapa bantuan lain turut disalurkan.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang wanita mendakwa dia dan suaminya yang menjadi gelandangan di kaki lima berdekatan sebuah kompleks komersil di Kuala Lumpur dilayan dengan tidak sewajarnya oleh pegawai JKM.

Wanita terbabit, Zaleha Haron, 62, mendakwa mereka didatangi dua orang pegawai JKM yang bertindak biadap selepas laporan dia hidup bergelandangan bersama suaminya disiarkan portal terbabit.

Menurut laporan itu, wanita terbabit dan suaminya terpaksa menjadi gelandangan di Kuala Lumpur sejak November tahun lalu selepas diusir anaknya sendiri dari Kulim, Kedah.

Mereka kemudian tinggal di kaki lima yang berdekatan tempat kerjanya.

Laporan itu juga mendakwa, dua pegawai JKM terbabit memaksa pasangan suami isteri itu mengemas barang mereka dan mengarahkan mereka meninggalkan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 12:12 PM