NANCY berucap pada pelancaran Program Advokasi Hentikan Penderaan Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Samariang. FOTO BERNAMA
NANCY berucap pada pelancaran Program Advokasi Hentikan Penderaan Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Samariang. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Orang ramai digalakkan menghubungi Talian Kasih di 15999 jika berlaku kes pembuangan bayi bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menyelamatkannya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cara itu dikenal pasti lebih berkesan untuk menangani isu terbabit kerana aduan terus diterima oleh institusi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, KPWKM akan memperhebatkan promosi menerusi program advokasi bagi menggalakkan orang ramai memanfaatkan Talian Kasih jika berlaku sebarang isu berkaitan kanak-kanak.

"Sebab itu kami menganjurkan program ini untuk beri pendedahan kepada masyarakat, bagaimana hendak melaporkan apa sahaja isu berkaitan kanak-kanak dengan segera.

"Kami ada di semua daerah, jadi mudah untuk tindakan segera diambil sebaik kami menerima aduan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Semariang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, sebelum ini pernah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan 'Baby Hatch' bagi menempatkan bayi yang tidak dikehendaki oleh ibu atau bapanya.

Kaedah itu diperkenalkan bagi membendung isu pembuangan bayi di tempat awam seperti rumah ibadat, hadapan rumah penduduk malah tong sampah.

Bagaimanapun, Nancy berkata, kaedah itu mengundang pelbagai tanggapan masyarakat termasuk ada yang menganggap ia seolah-olah menggalakkan pembuangan bayi.

"Sebab itu kaedah 'Baby Hatch' tidak berkembang dan hanya satu sahaja yang sempat beroperasi.

"Sehubungan itu, ramai yang mahukan agar KPWKM mengambil bayi itu secara rasmi dan menguruskan bayi itu seperti membawanya ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan kemudian mendapatkan perintah mahkamah sama ada membenarkan institusi kami menjaganya sementara siasatan dijalankan polis," katanya.

Mengenai program berkenaan, Nancy berkata, ia memberi ruang agar masyarakat bersama-sama mencari solusi yang tepat dalam mengatasi permasalahan sosial berkaitan kanak-kanak serta menjaga keselamatan dan melindungi kanak-kanak agar dapat mengekang peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 2:48 PM