TANGKAP layar rakaman CCTV yang tular wanita menyimbah air panas terhadap lelaki OKU. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar rakaman CCTV yang tular wanita menyimbah air panas terhadap lelaki OKU. FOTO Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Suspek simbah air panas terhadap lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) sindrom down Jalan Rajawali I-Park, di sini, semalam sudah ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, wanita berusia 39 tahun itu ditahan di bawah apartmen berkenaan pada 9.12 malam.

"Polis menahan wanita itu ketika mahu pulang ke rumahnya. Kita turut merampas beg tangan dan bekas air yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian.

"Suspek dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai seorang lelaki OKU berusia 33 tahun melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya.

Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 20 saat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:33 AM