FOTO Ihsan Facebook Arthur Joseph Kurup
FOTO Ihsan Facebook Arthur Joseph Kurup
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Jasad Pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), mendiang Tan Sri Joseph Kurup tiba di Kota Kinabalu sekitar jam 11.20 malam ini.

Penerbangan membawa mendiang yang pada awalnya dijadualkan pada 9.15 pagi tadi ditunda susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Jasad mendiang akan dibawa ke Fook Lu Siew Coffin Supplies Sdn Bhd, bagi urusan dan sesi penghormatan terakhir yang diadakan pada sebelah petang, esok.

Difahamkan, upacara penghormatan esok bagi tetamu kenamaan dan orang ramai dijadualkan bermula pada jam dua petang hingga lapan malam.

Media sebelum ini melaporkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Mendiang yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bersara daripada politik pada Januari tahun lalu selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:10 AM