SITI Nur Husna (kiri)  memasuki tahun satu di SJK Tamil Karak.FOTO Roselan Ab Malek.
SITI Nur Husna (kiri) memasuki tahun satu di SJK Tamil Karak.FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


BAGI membolehkan penguasaan pelbagai bahasa, suami isteri memilih menghantar anaknya memasuki tahun satu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Karak, Bentong.

Keputusan itu dibuat Nurul Fadznie Ashikin Hairul, 27 dan Alifdin Latif, 28 memandangkan ia dapat memberi kelebihan dari segi penguasaan pelbagai bahasa kepada anak sulung mereka, Siti Nur Husna Alifdin, 7.

Nurul Fadznie berkata, ia juga bagi memenuhi hasrat ibu mentuanya, Sharifah Ismail, 60 yang mahukan cucu-cucunya menguasai pelbagai bahasa.

“Saya dan suami ikutkan keputusan ini dan tidak rasa ia satu tindakan pelik kerana kita tinggal di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bahasa.

“Lagipun kami anggap ia satu kelebihan buat anak untuk menguasai bahasa lain selain bahasa kebangsaan,” kata suri rumah tangga itu ketika ditemui hari ini.

Katanya, selain anaknya, anak saudaranya turut dihantar ke SJK Cina demi memenuhi impian ibu mentuanya.

“Saya tahu agak sukar untuk anak jika tidak mempunyai asas bahasa itu. Jadi pada peringkat prasekolah lagi kami sudah hantar anak ke tadika menggunakan bahasa pengantar Tamil sebagai persediaan awal.

“Anak satu-satunya pelajar Melayu di tadika itu, namun dia dapat bergaul dan berkomunikasi dengan baik dengan murid di situ,” katanya.

Nurul Fadznie berkata, Siti Nur Husna juga tidak kekok berada di sekolah baharu, malah kelihatan gembira dan teruja.

Katanya, kini anaknya sudah mampu berkomunikasi dalam bahasa Tamil, namun belum fasih sepenuhnya.

“Buat masa ini saya dan suami tidak pernah mendengar kritikan atau kata-kata kurang enak dengan keputusan kami menghantar anak ke sekolah Tamil.

“Sebaliknya kami terima banyak kata-kata positif dan rangsangan daripada ahli keluarga lain dan jiran,” katanya.

Menurutnya, dua anaknya yang lain juga mungkin akan dihantar ke sekolah berbeza supaya masing-masing dapat menguasai kemahiran berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 2:39 PM