Sepasukan anggota stesen penguat kuasa KLIA membuat pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Nissan Serena di Terminal KLIA 2, semalam. FOTO Ihsan JPJ
Sepasukan anggota stesen penguat kuasa KLIA membuat pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Nissan Serena di Terminal KLIA 2, semalam. FOTO Ihsan JPJ
Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Taktik pujuk rayu digunakan oleh 'ulat' atau perkhidmatan kereta secara haram terbongkar apabila di tahan di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) 2 oleh sepasukan anggota stesen penguat kuasa KLIA, semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan di Facebook (FB) rasmi mengatakan kenderaan tersebut menawarkan perkhidmatan kepada seorang warganegara Korea dari Terminal 2, KLIA ke Platinum Suites, Kuala Lumpur.

"Perkhidmatan 'naik dulu, bayar kemudian' dengan kadar tambang harga yang dikenakan ke atas pelancong itu sebanyak RM150.

"Kenderaan jenis Nissan Serena beserta pemandu disita dan ditahan untuk siasatan selanjutnya semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

"Pihak yang bersalah akan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana pihak yang bersubahat dalam melakukan aktiviti 'ulat' ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama," katanya.

Tambahnya, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing supaya tidak terjerat dalam perkhidmatan 'ulat'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 5:53 PM