ANGGOTA JPJ melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mewah BMW X6 semasa Op HRA 2024. FOTO Ihsan JPJ
ANGGOTA JPJ melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mewah BMW X6 semasa Op HRA 2024. FOTO Ihsan JPJ
Hakimi Suria Kencana

Shah Alam: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyita sebuah BMW X6 ketika menjalankan rondaan Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di sini, semalam.

Menurut kenyataan Facebook (FB) rasmi JPJ Selangor, kenderaan berkenaan disita di Lebuhraya Grand Sepadu menghala Bukit Raja di sini.

"Penyitaan itu dikenakan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah tamat tempoh selama tujuh tahun.

"Selain LKM tamat tempoh, kenderaan berkenaan juga tidak mempunyai perlindungan insurans," kata kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, JPJ mengatakan sebarang kesalahan tidak memiliki insurans perlindungan kenderaan yang sah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jika seseorang disabitkan kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan sekurang-kurangnya tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

"Kenderaan terbabit di sita mengikut Seksyen 64(1) dan di bawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang ramai boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu serta butiran aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 4:02 PM