SYAFRIE Izwan ketika mengetuai takbir raya ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau. FOTO ihsan Syafrie Izwan Wahab
SYAFRIE Izwan ketika mengetuai takbir raya ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau. FOTO ihsan Syafrie Izwan Wahab
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Biarpun berada jauh daripada keluarga kerana tuntutan tugas di awan biru, ketua pramugara, Syafrie Izwan Wahab tetap komited malah cuba menghidupkan suasana Aidilfitri dengan mengetuai takbir raya dalam pesawat.

Pengalaman itu dikongsikan Syafrie Izwan, 36, menerusi video dimuat naik di akaun TikTok dan Instagram (IG) miliknya malah mendapat perhatian hingga meraih lebih 330,000 tontonan.

Berkongsi kisahnya, Syafrie Izwan yang sudah 14 tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan AirAsia berkata, video itu dirakam oleh rakan setugas ketika mereka dalam perjalanan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah.

Menurut Syafrie Izwan, idea untuk bertakbir itu datang secara spontan dan dilakukan pada malam raya tempoh hari iaitu 9 April lalu selepas mendapat kebenaran daripada kapten yang mengemudi pesawat.

"Penerbangan malam itu agak sibuk sebenarnya namun jabatan pengurusan minta buat sesuatu dan kebetulan terfikir nak takbir raya.

"Saya minta izin dengan kapten dahulu dan selepas dia beri lampu hijau, baru saya lakukannya.

"Jujurnya, perasaan saya bercampur baur malah fikir beberapa kali sebelum buat kerana risau ada penumpang tak selesa.. takut pun ada kalau ia buat penumpang sedih terkenangkan insan tersayang apabila mendengar takbir raya.

"Lagipun, saya pun sudah kehilangan emak (Norhayati Hashim) empat tahun lalu jadi faham perasan mereka namun teruskan juga (takbir raya) selepas tanya dengan penumpang dan dapat tahu majoriti mereka Muslim serta setuju," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Syafrie Izwan, apa dikongsikan di laman sosial sekadar untuk dijadikan kenangan dan tidak menyangka ia akan tular.

Katanya, rata-rata komen diterima juga positif namun ada juga segelintir yang mempersoalkan tindakannya.

"Sebagai anak kapal, saya sudah biasa hiburkan penumpang dengan menyanyi lagu raya, buat kejutan hari jadi dan 'prank'.

"Tapi takbir raya dalam pesawat itu kali pertama saya lakukan dan syukur, ramai boleh terima selepas saya kongsi di laman sosial malah ada minta ia diteruskan.

"Penumpang pun ucap terima kasih sebelum turun dari pesawat malah ada yang beri duit raya namun paling buat saya tersentuh apabila ada seorang penumpang Cina wanita datang dan kata dia suka dengarkan takbir raya itu

"Itu sudah cukup buat saya gembira dan berharap video berkenaan beri mesej positif kepada yang menonton," katanya mengakui sudah biasa bertugas ketika sambutan Aidilfitri.

#kw ketua, pramugara, syarikat, penerbangan, air asia, penumpang, takbir raya, aidilfitri, kuala lumpur

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:33 PM