Agensi

Manchester: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara dua tahun selepas enggan memakai pelitup muka ketika menaiki pesawat.

Adrian Front, 30, sebelum ini meminum minuman keras di kedai bebas cukai sehingga mabuk.

Portal metro.co.uk melaporkan lelaki terbabit masih berkeras enggan memakai pelitup muka walaupun sudah diminta berkali-kali kakitangan syarikat penerbangan.

Pekerja kilang itu turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada pramugari di hadapan 100 penumpang.

Pendakwa raya Katherine Allen berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke dalam pesawat untuk menahan suspek.

Lelaki terbabit bagaimanapun menafikan dia mabuk walaupun sudah diingatkan supaya tidak meminum arak di dalam pesawat.

"Tertuduh juga enggan memakai pelitup muka. Dia hanya memakai untuk sementara waktu di hadapan kru kabin sebelum membuka semula.

"Pegawai polis bertugas juga memaklumkan terdapat bau alkohol ketika bercakap dengan tertuduh," katanya.

Pegawai bertugas berharap tertuduh akan meninggalkan pesawat dengan tenang namun dia melakukan sebaliknya.

Keadaan itu juga menyebabkan penerbangan terpaksa ditangguhkan sementara waktu sehingga dia keluar dari pesawat.

Lelaki itu ketika dihadapkan ke mahkamah mengakui dalam keadaan mabuk ketika berada di dalam pesawat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 1:15 PM