GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kestabilan dan keutuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak perlu digoyahkan tanpa sebab termasuk cadangan untuk menggabungkan parti komponen gabungan itu.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, dengan kedudukan GPS yang cukup stabil ketika ini, tiada keperluan mendesak atau kritikal untuk menggabungkan Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beliau berkata, perjuangan PDP dan PRS dalam GPS masih releven dan boleh diteruskan tanpa penggabungan.

"Pemimpin tertinggi GPS diyakini amat reseptif mendengar dan sangat responsif , jadi tidak perlulah suara besar yang didambakan itu bakal bertukar menjadi suara sumbang yang membingitkan telinga nanti.

"Penggabungan jika berlaku, pasti akan berpotensi mencetuskan pertikaian terutamanya dalan kalangan pemimpin parti masing-masing terutamanya apabila berkait dengan jawatan atau kedudukan dan paling mencabar dalam menentukan calon dan kerusi menjelang pilihan raya," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng Wei Shien, yang mencadangkan penggabungan dua parti itu.

Wei Shien yang juga Ahli Parlimen Julau dalam hantaran di akaun Facebook baru-baru ini, PDP dan PRS mempunyai hubungan sejarah dan penggabungan dua parti itu akan mengukuhkan lagi GPS dan perjuangan Dayak.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil yang juga Penolong Naib Canselor (Kepimpinan dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, penggabungan itu hanyalah sekadar cadangan daripada seorang wakil rakyat bukannya atas hasrat parti berkenaan, apa lagi kalangan penyokong masing-masing.

Katanya, mungkin ia hasrat murni Wei Shien bagi mengukuhkan GPS, namun pelaksanaan cadangannya itu harus dibuat dengan berhati-hati kerana dikhuatiri boleh mengeruhkan suasana politik Sarawak yang jernih ketika ini.

"Sudah banyak sejarah dunia politik membuktikan kekecewaan angkara perebutan kedudukan, jawatan dan kerusi dalam parti adalah antara faktor penyumbang terbesar dalam percakaran sesama pemimpin dan ahli diikuti penghijrahan keluar parti dan penubuhan parti serpihan.

"Justeru, setidak-tidaknya pada waktu ini, tiada keperluan untuk inisiatif penggabungan ini direalisasikan melainkan sekiranya timbul situasi yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Bagaimanapun katanya, pendirian dan pertimbangan pucuk pimpinan GPSadalah amat penting dalam menentukan sebarang keputusan dan tindakan terhadap sebarang inisiatif dan usul yang dibangkitkan itu tidak tersalah percaturannya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, turut melihat cadangan itu sebagai sesuatu yang mustahil.

Menurutnya, isu utama yang akan timbul jika penggabungan itu berlaku ialah siapa yang akan menjadi Presiden.

"Datuk Seri Tiong King Sing kini sudah selesa menjadi ketua parti berbilang kaum dan parti yang bersifat lebih terbuka tetapi PRS pula dilihat lebih didominasi pemimpin Iban yang saya percaya sudah tentu tidak akan mahu berkompromi dengan Presiden PDP yang berbangsa Cina sebaliknya lebih utamakan pemimpin Iban untuk kedudukan tertinggi.

"Jika sentimen itu menjadi ukuran, saya percaya PDP mahupun PRS sendiri pasti kurang berminat dengan cadangan penggabungan itu," katanya.

Menurutnya lagi, Wei Shien sendiri pernah terpinggir dalam PRS dan bergelut untuk merebut kuasa di dalam parti majoriti Dayak itu.

"Beliau sendiri tidak berjaya dalam pemilihan pimpinan PRS hingga terbuang dalam politik dan sekarang beliau mencadangkan penggabungan PRS dan PDP yang saya percaya beliau sendiri kurang yakin akan menjadi kenyataan kerana beliau tentu tahu kesukaran dua parti itu untuk bergabung.

"Sekarang beliau tubuhkan PBM dan sebelum itu juga beliau pernah menubuhkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:00 PM