ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP.
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pelantikan wakil pelbagai kaum di dalam Kabinet Persekutuan perlu bagi mencerminkan kesepakatan kalangan pemimpin negara ini di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Justeru, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau menyokong penuh cadangan agar lebih ramai Ahli Parlimen daripada etnik Dayak dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam barisan kabinet.

Menurutnya, barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan, Kenyah, Melanau serta Iban harus diberikan peluang untuk bersama-sama terbabit dalam pentadbiran.

"Ahli Parlimen daripada pelbagai kaum di Sarawak ini jelas berkebolehan dan sudah berkhidmat selama beberapa penggal

sebagai Ahli Parlimen dan Senator.

"Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dan salah seorang daripada mereka (Datuk Seri Doris Sophia Brodie) juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, berdasarkan pengalaman luas barisan pemimpin itu mereka perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam Kerajaan Perpaduan.

Malah katanya, Ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak termasuk daripada DAP juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Menurutnya lagi, antara Ahli Parlimen GPS yang boleh diberi pertimbangan ialah Datuk Willie Mongin, (Puncak Borneo-Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong (Lawas-Lun Bawang), Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah-Melanau), Datuk Anyie Ngau (Baram-Kayan/Kenyah), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang-Iban) dan Datuk Seri Doris Sophia Brodie (Sri Aman-Iban).

Bagaimanapun, Nanta, berkata terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memilih dan memutuskan siapa layak untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri.

"Saya percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbangkannya dan saya juga percaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang juga Pengerusi GPS, berkongsi pandangan yang sama dengan saya mengenai perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:28 PM