EXCO Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyerahkan kit Kes Cerai Fast Track kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah sambil diperhatikan Mohd Na'im (kanan). FOTO Fuad Hadinata Yaacob
EXCO Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyerahkan kit Kes Cerai Fast Track kepada Hakim Mahkamah Rendah Syariah sambil diperhatikan Mohd Na'im (kanan). FOTO Fuad Hadinata Yaacob
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) memperkenalkan kes cerai Fast Track iaitu penyelesaian kes perceraian dalam tempoh enam jam waktu bekerja berbanding 90 hari sebelum ini.

Ketua Hakim Syarie Selangor Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, projek itu bertujuan mempercepatkan penyelesaian kes perceraian di negeri itu.

Menurutnya, berdasarkan realiti semasa didapati tempoh purata penyelesaian kes adalah selama 60 hari bermula dari tarikh kes didaftarkan sehingga kes diputuskan.

Katanya, tempoh itu akan ditambah 30 hari lagi untuk tempoh pengeluaran perintah bersih perceraian.

"Melalui pelaksanaan kes cerai Fast Track ini, tempoh 90 hari itu dapat disingkatkan kepada enam jam waktu bekerja.

"Semua Mahkamah Rendah Syariah di negeri ini mula melaksanakan kes cerai Fast Track ini pada bulan lalu dan menyelesaikan 308 kes dalam tempoh enam jam," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Proses Kerja Kes Cerai Fast Track di sini, hari ini.

Begitupun Dr Mohd Na'im berkata, proses permohonanan perceraian Fast Track itu perlu memenuhi syarat ditetapkan iaitu dokumen lengkap, suami isteri hadir, persetujuan bersama untuk bercerai, isteri dalam keadaan suci, tidak mengandung serta mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 10:45 AM