BUNG Moktar Radin. FOTO Arkib NSTP
BUNG Moktar Radin. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Umno Sabah tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), kelak.

Bagaimanapun, Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata masih terlalu awal untuk beliau menyatakan perkara itu memandangkan tumpuan kini adalah usaha memantapkan Umno Sabah terlebih dahulu.

"Kita tidak menolak kemungkinan itu, namun sekarang masih terlalu awal untuk menyatakannya. Kita tunggu sehingga tarikh PRN17 ditetapkan.

"Seperti saya nyatakan sebelum ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya bekerjasama dengan mana-mana parti yang menghormati perjanjian bagi membela kepentingan rakyat Sabah.

"Apa yang kita lakukan hari ini adalah memperkukuhkan semua jentera parti dan kumpul isu serta maklumat yang akan diguna pakai pada kempen pilihan raya nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas persediaan Umno Sabah bagi menghadapi PRN17 berikutan kemungkinan ia diadakan lebih awal termasuk pada tahun depan seperti bayangan diberikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata siapapun gandingan Umno Sabah pada PRN17 nanti, ia mesti menjadi faktor kekuatan dan kemenangan calon BN.

Katanya, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini mengajar Umno Sabah untuk menjadi matang dalam menjalin kerjasama dengan parti lain di negeri ini.

"Kita akan melihat rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah.

"Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah," katanya.

Mengenai kemungkinan PRN17 diawalkan berbanding tempoh Dewan Undangan Negeri (Dun) sekarang yang tamat pada Oktober 2025.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata Umno dan BN Sabah bersedia menghadapi pilihan raya itu pada bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 9:20 PM