HAJIJI Noor. FOTO arkib NSTP
HAJIJI Noor. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Papar: Tindakan tegas bakal diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal secara haram di Sabah sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan rakan sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerajui kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan berkata, ia adalah usaha dan komitmen PN dan GRS untuk menyelesaikan masalah kebanjiran PATI di negeri ini.

"Kerajaan GRS yang akan ditubuhkan nanti bakal memastikan hanya orang asing yang memiliki dokumen yang sah sahaja dibenarkan untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.

"Bila kita memerintah nanti, kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mempunyai dokumen. Kita tidak mahu jadi kerajaan mesra PATI seperti yang ada sekarang ini kerana nanti kita sendiri yang susah.

"Kalau mereka (PATI) mahu datang ke Sabah, mesti ada dokumen yang sah. Kalau tidak, kita akan hantar mereka pulang. Ini selaras dengan pendirian kita dan Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Bersama Rakyat di Taman Sutera Jaya, Kinarut, Selasa lalu.

Turut hadir, Ketua Bahagian Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Papar merangkap calon PN bagi kerusi DUN Kawang, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, selain itu, struktur pentadbiran kerajaan negeri juga akan disusun semula dengan mengambil kira kepentingan negeri dan rakyat Sabah.

"Tindakan kerajaan negeri yang ada sekarang ini untuk tidak bersama dengan kerajaan Persekutuan hanya merugikan rakyat di negeri ini.

"Kita bersama-sama dalam Malaysia, janganlah menanamkan semangat benci kepada Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) atau orang daripada Semenanjung Malaysia.

"Ini sesuatu yang tidak sihat kerana boleh memecah belahkan perpaduan dikalangan rakyat kita... masa kita susah Kerajaan Persekutuan bantu kita," katanya.

Dalam program terbabit, borang keahlian darilebih 1,700 pemimpin dan ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN) diserahkan kepada Ghulam Haidar.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 12:03 PM