Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lazimnya corak batik dicanting pada kain, namun bekas pereka grafik ini menampilkan kelainan apabila mengangkat seni warisan nenek moyang sebagai hiasan kek.

Nurliza Mohd Jonis, 44, berkata, usaha kecilnya itu bagi memartabatkan seni warisan negara supaya tidak lapuk ditelan zaman dan dilupakan rakyat Malaysia terutama generasi muda hari ini.

Menurutnya, idea melukis corak batik timbul sebagai hiasan kek batik diusahakannya bermula secara kebetulan sempena Aidilfitri tahun lalu.

"Kita cuba cari kelainan apabila menonjolkan khazanah kesenian dengan melukis corak batik pada makanan iaitu kek batik.

"Bukan untuk perhiasan semata-mata, kita mahu kewujudan corak batik itu dirasai dalam bentuk makanan yang akan memberikan satu perasaan berharga kepada pemakannya," katanya.

Menurut ibu tiga anak itu, hiasan batik bukan sekadar corak semata-mata, tetapi ia mempunyai makna tersendiri.

"Ia memberikan nilai sentimental terutama bagi individu mengenang individu lain yang mungkin pernah memakai batik berkenaan.

"Biasanya pelanggan akan memberikan contoh baju atau kain batik yang pernah dipakai insan disayangi mereka untuk diabadikan sebagai hiasan kek batik.

"Ada juga pelanggan menempah khas kek batik bercorak batik untuk dihadiahkan kepada insan tersayang, kenalan mahupun tujuan acara korporat," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bukan hanya mementingkan kekemasan dan kecantikan, katanya, dia juga akan memastikan setiap kek yang dihasilkan sedap dimakan dengan menggunakan bahan berkualiti.

"Hendak pastikan kek itu sedap, kita akan gunakan bahan premium.

"Bahan asas digunakan untuk melukis corak batik itu pula biasanya menggunakan coklat putih yang dicairkan dan diwarnakan pewarna makanan," katanya.

Katanya, tempoh proses melukis batik pada kek bergantung kepada corak dimahukan pelanggan.

"Jika corak dimahukan sudah tersedia, ia lebih cepat berbanding corak khas yang perlu dibuat lakaran terlebih dulu.

"Dari segi penentuan harga, ia bergantung kepada kos bahan termasuk kerumitan corak dan saiz dimahukan.

"Kebanyakan pelanggan faham sebab mereka tahu nilai kek itu terutama proses menghasilkan corak batik bukan mudah," katanya memberitahu ada pelanggan sanggup membayar RM1,000 untuk tempahan kek corak batik khas.

Katanya, dia hanya memfokuskan lakaran corak batik pada kek sahaja berikutan lebih mendapat permintaan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 8:31 AM