ANTARA rekaan yang diperagakan pada pertunjukan fesyen sempena Festival Kraf Borneo Sarawak 2019 di Kuching Waterfront. FOTO: Hazreen
ANTARA rekaan yang diperagakan pada pertunjukan fesyen sempena Festival Kraf Borneo Sarawak 2019 di Kuching Waterfront. FOTO: Hazreen
KEBANYAKAN rekaan tanpa zip dan butang, pengguna boleh ubah suai dengan tali pinggang atau ikatan.
KEBANYAKAN rekaan tanpa zip dan butang, pengguna boleh ubah suai dengan tali pinggang atau ikatan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

INSPIRASI panorama indah di sekitar sungai di Sarawak diangkat menjadi tema rekaan pereka tersohor, Tom Abang Saufi yang dipersembahkan dalam pertunjukan fesyen Malam Gala Tekstil Kraf Borneo di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Bertapak hampir empat dekad dalam industri fesyen tempatan, pereka kelahiran Sarawak ini menyifatkan keindahan alam semula jadi di Bumi Kenyalang tidak pernah putus dan sentiasa menjadi ilham untuk berkarya.

“Pemandangan sungai sentiasa menggamit memori manis ketika zaman kanak-kanak. Setiap kali beriadah di pantai, saya bersama keluarga perlu menaiki bot dan menyusuri Sungai Sarawak terlebih dahulu. Biarpun perjalanan itu mengambil masa yang lama, ia menyuntik pengalaman mengujakan.

“Apabila sering berulang-alik daripada Kuala Lumpur ke Sarawak, saya gemar memerhati air sungai mengalir diikuti keindahan sungai yang tiada tolok bandingnya. Menerusi tema ini juga saya berharap dapat memberi kesedaran kepada pencinta fesyen mengenai pentingnya menjaga kelestarian sungai di Sarawak,” katanya.

Mengetengahkan 10 persalinan berlatarbelakangkan warna cerah dan pelbagai, sama seperti rekaan terdahulu Tom menggunakan fabrik sutera berlatar belakang corak batik.

Menurutnya kebanyakan pelanggan amat menggemari material sutera kerana ia nampak mewah dan berada dalam kelas tersendiri.

Mengenai potongan pula, sejujurnya pereka ini menyukai rekaan yang mudah digayakan serta selesa. Inilah yang menjadi pegangannya sejak dahulu hingga sekarang.

“Kebanyakan rekaan saya tanpa zip dan butang. Namun, ia boleh dipakai individu daripada ukuran berbeza. Mereka boleh mengubah suai dengan tali pinggang atau ikatan. Jadi tanpa mengira usia mereka menggayakan mengikut style tersendiri,” katanya yang menyasarkan potongan longgar bakal menjadi ikutan menjelang 2020 nanti.

Selain Tom Abang Saufi Malam Gala Tekstil Kraf Borneo turut mengetengahkan koleksi fesyen kraf tempatan seperti Tanoti Sdn Bhd dan Pua Indah Enterprise serta kumpulan pereka daripada Kraftangan Malaysia.

Menurut seorang pereka Kraftangan Malaysia, Dayang Mordiana Abang Ahmat, mereka mengetengahkan keistimewaan batik linut yang sangat unik cara pembuatannya.

“Batik ini dihasilkan menggunakan linut atau sagu mentah iaitu sejenis makanan tradisional dalam kalangan etnik Melanau di Mukah. Kami mendapati linut mampu bertindak sebagai penebat terbaik bagi menggantikan lilin dalam proses pembuatan batik.

“Selain itu, ia berupaya menghalang warna dan air daripada menembusi bahagian lain,” katanya.

Menariknya, biarpun diperbuat daripada bahan asli, variasi ronanya sangat menarik perhatian dan mampu memberikan penampilan versatil kepada si pemakai.

“Rekaan gaun, blaus, kemeja sehingga jaket boleh ditampilkan bagi memberikan penampilan pelbagai. Malah. ia memberikan imej ranggi dan kasual dalam sesetengah keadaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 5:00 AM