Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Sarip, Lahad Datu. FOTO IHSAN JBPM
Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Sarip, Lahad Datu. FOTO IHSAN JBPM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Keriangan sambutan Aidilfitri dua keluarga di Kampung Sarip, di sini, bertukar pilu apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian jam 11.50 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.52 pagi.

Katanya, sembilan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu diketuai Pegawai Bomba Amri Muliadi bergegas ke lokasi dan sebaik tiba dua rumah itu sudah dijilat api.

"Pasukan bertindak memadam kebakaran dengan satu aliran, dua pancutan dari sumber air pili bomba.

"Api berjaya dikawal jam 12.26 tengah hari dan dua rumah terbakar sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua kereta jenis Proton Saga dan Proton Saga Aerobik turut terbakar 100 peratus.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.33 petang.

"Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 4:22 PM