KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan di KM 452.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi.  FOTO ihsan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)
KEMALANGAN membabitkan tujuh kenderaan di KM 452.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi. FOTO ihsan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Seorang pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 452.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi.

Kejadian berlaku ketika cuaca hujan di laluan arah Selatan di antara Rawang menuju ke Hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan maklumat awal Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, nahas kira-kira jam 11.45 malam membabitkan lima kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang hilang kawalan terbabas di lorong kanan sebelum dilanggar oleh kenderaan lain.

"Pada masa ini, pegawai perubatan mengesahkan pemandu 4×4 meninggal dunia manakala tiga lagi pemandu cedera parah.

"Jumlah mereka yang cedera ringan belum dapat dipastikan selepas mereka dibawa ke hospital.

"Aliran trafik di kawasan berkenaan kini bergerak perlahan dan hanya lorong kedua dibuka untuk lalu-lintas," katanya.

Sementara itu, PLUSLine Trafik, menerusi laman rasmi aplikasi X memaklumkan lorong kiri, lorong tengah dan lorong kanan laluan empat lorong itu terhalang akibat kemalangan.

"Trafik perlahan sepanjang tiga kilometer arah Selatan dan perlahan sepanjang empat kilometer ke arah utara atau laluan bertentangan," katanya.

Plusline turut menasihatkan pengguna untuk sentiasa berhati-hati.

Sehingga jam 12.46 tengah malam tadi, PLUS memaklumkan bahawa ketiga-tiga lorong iaitu lorong kanan, lorong kiri kedua dan lorong kiri masih terhalang dan kesesakan dilaporkan berlaku sepanjang lima kilometer di kedua-dua arah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 7:41 AM