Imam Masjid  Buluh Gading Muhammad Hafiz Abdul Halim ketika mengimamkan solat sunat Tarawih. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Imam Masjid Buluh Gading Muhammad Hafiz Abdul Halim ketika mengimamkan solat sunat Tarawih. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Masjid Buluh Gading, di sini antara masjid yang menjadi tumpuan umat Islam di negeri ini dalam menunaikan solat tarawih pada setiap kali Ramadan.

Saban tahun, kira-kira 500 jemaah pelbagai peringkat umur akan mengimarahkan masjid itu dan sebab utamanya kerana mengamalkan solat tarawih ringkas yang mengambil masa 20 minit untuk diselesaikan (lapan rakaat tarawih dan tiga rakaat solat witir).

Biasanya, solat berjemaah itu akan bermula pada 8.45 malam dan selesai pada 9.05 minit, berbanding masjid dan surau lain yang biasanya mengambil masa lebih 30 minit selepas bermula pada 9 malam.

Imam Masjid Buluh Gading Muhammad Hafiz Abdul Halim berkata, pendekatan mengadakan solat tarawih dengan bacaan surah yang ringkas bagi menggalakkan orang ramai termasuk warga emas yang uzur untuk menunaikan solat itu sepanjang Ramadan.

Jelasnya, mereka juga tidak anggap ia solat yang 'express' sebaliknya ringkas dengan bacaan surah-surah pendek dan sudah lama diamalkan setiap kali Ramadan.

"Biasanya di sini, solat tarawih boleh selesai dalam 20 minit, berbanding tempat lain kira-kira 30 minit.

"Di sini tidak ada tazkirah antara empat rakaat itu dan kita baca surah yang pendek. Tujuannya kita tidak mahu jemaah menunggu lama terutama mereka yang uzur," katanya.

Seorang jemaah, Muhammad Shahir Shaari, 28, berkata, bacaan yang ringkas dan jelas menjadi keunikan masjid berkenaan yang bukan hanya memudahkan golongan warga emas dan uzur tetapi mampu menarik minat golongan muda.

"Bagi saya sembahyang di sini bukan cepat, tetapi dibuat ringkas. Jadi ramai anak-anak muda yang datang sembahyang tarawih di sini.

"Orang muda misalnya ada banyak aktiviti, jadi mereka boleh solat dulu dan selepas itu selesaikan apa yang mahu dibuat," katanya.

Bagi Mohd Shukri Salleh, 49, pula, sudah menjadi tradisi apabila imam yang bertugas hanya membaca surah yang ringkas.

Katanya, amalan itu bukan hanya menjadi tarikan jemaah dalam kalangan penduduk setempat tetapi jemaah dari daerah lain.

"Di sini cepat berbanding tempat yang lain sebab bacaan surah-surah yang pendek bukan hanya untuk galakkan orang muda tetapi dia (imam) tahu ramai orang tua, jadi tak nak bagi penat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 1:48 PM