Arab Saudi mengehadkan tempoh solat Tarawih di semua masjid kepada 30 minit saja sepanjang Ramadan ini. FOTO AGENSI
Arab Saudi mengehadkan tempoh solat Tarawih di semua masjid kepada 30 minit saja sepanjang Ramadan ini. FOTO AGENSI
Agensi

Riyadh: Arab Saudi mengehadkan tempoh solat Tarawih di semua masjid negara itu kepada hanya 30 minit saja sepanjang Ramadan ini.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Sheikh Dr Abdullatif Al-Sheikh berkata, peraturan terbaru itu berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan (MoH) bagi mengekang penularan Covid-19.

Malah, MoH turut mengesyorkan Tarawih dan qiamulail juga ditunaikan bersama solat Isyak di seluruh masjid negara itu.

Ini bagi memendekkan tempoh jemaah berada dalam masjid selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 sepanjang Ramadan.

Peraturan itu juga menetapkan semua pengarah cawangan kementerian dan imam masjid perlu dimaklumkan dengan perkara baharu berkenaan.

"Semua tindakan dan protokol pencegahan sudah dikeluarkan kementerian dalam edaran sebelum ini dan harus dilaksanakan dengan ketat," kata pekeliling itu.

Kementerian itu juga menasihati semua petugas masjid dan jemaah mengambil langkah pencegahan apabila ke masjid termasuk membawa sejadah, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Tahun lalu, Arab Saudi menggantung pelaksanaan solat Tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah kepada jemaah awam dalam usaha negara itu membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun semalam, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz membenarkan ibadah solat tarawih dilakukan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagaimanapun, jumlah rakaatnya dikurangkan kepada 10 rakaat berbanding 20 rakaat pada tahun-tahun sebelumnya, lapor Saudi Press Agency (SPA).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:20 AM