LEE Ting Han melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
LEE Ting Han melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dengan kerjasama kerajaan negeri akan melancarkan Jualan Rahmah di semua 26 kawasan Parlimen pada Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, Jualan Rahmah itu diadakan dua kali sebulan di setiap Parlimen dengan potongan harga 15 sehingga 20 peratus membabitkan barang keperluan asas.

"Jualan ini kita adakan dua kali sebulan mengikut jadual yang ditetapkan. Jualan akan diadakan termasuk di pasar raya dan kedai runcit.

"Malah kita juga akan adakan di kawasan yang berbeza," katanya di sidang akhbar selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall di Taman Mutiara Rini di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDN Johor, Lili's Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Johor, Muhammad Aizuddin Mohd Saad.

Berkaitan SHMMP Hari Raya Puasa, Ting Han berkata, beliau berharap peniaga akan mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

Menurutnya, sepanjang SHMMP Tahun Baru Cina 2023 sebelum ini, KPDN menjalankan 790 pemeriksaan ke atas pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.

"Sebanyak 35 kes dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM4,600 dihasilkan sepanjang pelaksanaan skim harga berkenaan membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 3:45 PM